USAHAWAN KETUPAT PALAS FROZEN
| Nama | : Rasidah Bt Abdul Latif |
| Umur | : 59 tahun |
| Ahli | : 2018 |
Latar belakang
Pn. Rasidah Bt Abdul Latif berumur 59 tahun dan menetap di Felda Teloi Kanan. Beliau tidak bekerja dan hanya seorang surirumah sepenuh masa. Beliau merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai 3 orang cahaya mata. Beliau memulakan perniagaan ini sejak tahun 2016 sehingga kini. Pada mulanya beliau hanya membuat ketupat ini untuk dimakan oleh keluarga sahaja. Selepas itu, anak beliau membawa ketupat yang dihasilkan oleh beliau kepada kawan-kawannya untuk dimakan. Bermula dari situlah Pn. Rasidah mendapat tempahan dan semakin mendapat sambutan. Ketupat frozen yang dihasilkan oleh beliau mempunyai pelbagai jenis seperti ketupat original, ketupat jagung, ketupat kacang, ketupat pulut hitam dan ketupat daging.
Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan PI
Sebelum penggunaan ICT, ketupat beliau hanya ditempah oleh jiran-jiran terdekat dan kawan-kawan terdekat anaknya. Beliau juga tidak mempunyai pekerja dan peralatan yang digunakan pada waktu itu hanyalah sebuah peti sejuk sahaja bagi menyimpan ketupat yang telah dihasilkan. Bahan mentah seperti beras pulut, kelapa dan daun palas hanya dibeli dari penduduk kampung dan ianya adalah terhad. Hal ini menyebabkan beliau tidak dapat menghasilkan ketupat dengan banyak, tambahan lagi apabila tiba musim perayaan. Pendapatan yang diperoleh pada masa itu adalah antara RM500 – RM1000 sahaja sebulan.
Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PI
Selepas penggunaan ICT, tempahan beliau semakin meningkat dan semakin meluas di serata negeri. Beliau mempromosikan ketupat frozen melalui media sosial seperti Whatsapp, Facebook dan Instagram. Permintaan yang semakin meningkat bukan hanya pada musim perayaan menyebabkan beliau terpaksa mengambil pekerja seramai 4 orang bagi membantu beliau untuk membuka daun palas dan membalut ketupat. Beliau juga menambah peralatan yang baru seperti Frozen dan periuk yang lebih besar untuk menampung ketupat yang akan dihasilkan. Dengan adanya Whatsapp, beliau boleh mencari dan menghubungi pembekal daun palas dan kelapa dengan mudah serta cepat. Hal ini memudahkan beliau untuk menghasilkan ketupat frozen dengan banyak tanpa bekalan bahan mentah yang terhad. Pendapat yang beliau perolehi juga semakin meningkat antara RM 2000 – RM 4000 sebulan.